Thursday, September 10, 2009

Makroekonomi

1. PENDAPAT TERHADAP ARTIKEL


Berdasarkan artikel, S.M. Mohamed Idris, Ahmad Othman dan Datuk Patrick Sindu, menggalakkan penduduk agar lebih berjimat cermat dan mencari alternatif lain untuk menampung perbelanjaan dan keperluan harian. Mereka juga menasihatkan pengguna agar tidak terlalu panik dengan membeli barang keperluan secara banyak kerana ia akan merugikan jika barangan tersebut rosak kerana disimpan terlalu lama. Sebaliknya para pengguna perlu menjadi lebih bijak dan mengubah cara hidup mereka agar tidak terlalu bergantung kepada sumber yang ada dipasaran supaya masalah kenaikan harga dapat di kurangkan.

Saya berpendapat bahawa pandangan ini ada betulnya. Ini kerana sudah tiba masanya pengguna menggunakan kuasa dan kebijaksanaan ketika membeli barang keperluan harian. Mereka juga dapat membantu kerajaan selain membantu diri sendiri melalui tindakan yang di cadangkan. Pengguna perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan barang keperluan harian kerana dengan cara ini pengguna dapat mengelakkan pembaziran.

Menggantikan barang keperluan harian dengan barangan yang lain yang lebih murah adalah penting kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sesuatu barang.Selain itu cara ini juga akan menolong kerajaan dalam mengawal masalah kekurangan sumber . Apabila pengguna mencari alternatif lain secara tak langsung pengeluaran terhadap sumber yang terhad seperti beras dan sebagainya dapat diatasi. Ini kerana permintaan yang berkurangan akan menyebabkan harga barangan tersebut menurun dan bekalannya tidak akan terputus kerana pengguna mempunyai pelbagai pilihan dalam memenuhi keprluan mereka.


Apabila sumber keperluan dipelbagaikan , jenis-jenis barangan keperluan di pasaran juga akan bertambah dan permintaan terhadap sumber keperluan utama tidak lagi bergantung kepada satu barag sahaja.

Tindakan seperti memasak di rumah akan membantu pengguna dalam membendung masalah harga makanan yang mahal. Peniaga akan cuba untuk mengurangkan harga jualan mereka jika permintaan mula berkurangan. Secara tak lansung aktiviti ini membawa kepada penurunan harga dan membawa kepada kestabilan harga yang tinggi.

Dengan terkawalnya jumlah permintaan dalam Negara , kerajaan akan mampu untuk membantu pengguna dalam menilai semula harga barangan kawalan di pasaran kerana kita tidak lagi perlu untuk mengimport sumber dari luar unutk menampung sumber yang terhad.



2. KESAN INFLASI
.

Pada umumnya inflasi ialah satu "kenaikan yang berterusan dalam tingkat harga umum". "Harga umum"bermaksud harga yang menggambarkan paras harga bagi keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi pada sesuatu masa tertentu. Oleh kerana terlalu banyak bilangan barangan yang terdapat pada sesuatu masa, maka amat sulit untuk mendapatkan semua harga barangan dan perkhidmatan berkenaan. Oleh itu, satu kaedah telah dibentuk untuk mengukur paras harga umum ini dengan mengambil sebilangan barangan dan perkhidmatan tertentu sebagai mewakili keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi dan harga mereka diukur dengan menggunakan Indeks Harga.

"Kenaikan yang berterusan" bermaksud bahawa inflasi hanya berlaku pada ketika paras harga umum meningkat secara berterusan dalam satu-satu tempoh tertentu sahaja. Sesuatu kenaikan harga yang bersifat sementara seperti kenaikan harga akibat musim kemarau atau kenaikan harga kerana meningkatnya kadar cukai jalan tidak dianggap sebagai inflasi kerana kenaikan harga sebegini hanya berlaku sekali sahaja.

Oleh itulah indeks harga ini dinamakan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan bagi Malaysia, indeks ini dikeluarkan dari masa ke masa oleh Jabatan Perangkaan.Indeks Harga Pengguna (IHP) merupakan kaedah yang digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi. IHP mengukur harga purata barang barang dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh pengguna. IHP diukur dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa. Sementara itu kadar inflasi pula adalah peratus perubahan paras harga barangan dan perkhidmatan tahun semasa berbanding tahun asas. IHP mengambilkira lebih kurang 430 item barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh seunit isi rumah secara am (average household expenditure).

2.1 Kesan inflasi

Ke atas pengguna.
Berdasarkan artikel, inflasi berlaku ke atas barang asas keperluan pengguna seperti beras, ayam ,daging dan sebagainya. Barangan asas merupakan sumber utama yang di perlukan. Jika inflasi keatas barangan ini kian meningkat, ia akan meningkatkan kos hidup rakyat dan ini akan mengurangkan taraf hidup mereka..

Bagi pengguna individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang individu berkenaan. Perkara ini berlaku kerana penurunan yang tinggi dalam permintaan agregat yang membawa kepada kelembaban ekonomi. Pengurangan pendapatan benar akan berlaku dengan ketara kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap.

Pendapatan yang rendah ini akan mengurangkan kecenderungan pengguna untuk berbelanja dan ini membawa kepada pengurangan kuasa beli kerana pengguna akan lebih berhati-hati dalam pemilihan barangan keperluan asas mereka.

Selain itu inflasi tolakan kos akan berlaku di kalangan pengguna. Inflasi tolakan kos adalah disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran yang tinggi. Kenaikan kos pengeluaran ini disebabkan oleh kenaikan harga bagi faktor-faktor pengeluaran seperti tingkat upah. Sebagai contoh, jika kadar upah meningkat dengan tinggi, maka kos pengeluaran akan meningkat.

Apabila kos pengeluaran meningkat, maka pengeluar yang sentiasa mahu memaksimumkan keuntungan akan mengenakan harga yang tinggi kepada pengguna. Selepas merasakan kesan kenaikan harga ini (penurunan dalam tingkat pendapatan benar), pengguna yang juga bekerja sebagai buruh akan meminta kenaikan gaji yang baru dan lebih tinggi bagi menampung peningkatan harga ini.

Kadar inflasi yang tinggi ini juga boleh membawa kepada pengganguran kerana akan terdapat pengguna kehilangan kerja akibat dari kenaikan harga tersebut. Sebagai contoh, dengan kenaiakan harga barang keperluan asas, kos pengeluaran akan meningkat dan ini akan menyebabakan peniaga-peniaga kecil kehilangan sumber pendapatan mereka. Pengguna yang kehilangan kerja akan mula menjalankan aktiviti tidak berfaedah seperti menentang kerajaan dengan melakukan refomasi bagi membantah kadar inflasi yang tinggi.

Syarikat dan peniaga.
Bagi syarikat-syarikat dan peniaga yang mengeluarkan produk makanan , tahap pengeluaran produk mereka akan terjejas disebabkan oleh kenaikan harga barangan asas di pasaran. Ini kerana , akan berlakunya kenaikan kos pengeluaran yang terpaksa di tanggung. Kenaikan kos pengeluaran akan menyebabkan harga barang meningkat.

Para pengguna akan mula mengurangkan kuasa pembelian dan ini menyebabkan belakunya lebihan keluaran. Syarikat atau peniaga kecil akan terjejas teruk kerana mereka tidak akan mampu untuk menjelaskan hutang jangka pendek pada masa yang di tetapkan. Masalah ini juga akan membawa perberhentian operasi oleh peniaga kecil.
Selain peniaga produk makanan yang terjejas , syarikat lain seperti di dalam sektor kewangan juga terjejas.

Bagi syarikat dari sektor kewangan seperti bank, mereka akan mengalami kerugian apabila peniaga yang mengalami kerugian tidak mampu untuk membayar balik pinjaman yang diberikan .Semakin tinggi tingkat kadar harga semakin tinggi kadar faedah, ini membawa kepada pengurangan kadar pelaburan dan penggunaan. Pihak yang memberi pinjaman pula perlu mengurangkan kadar faedah bagi menarik pelabur ini menyebabkan berkurangnya kadar purata keuntungan mereka



Negara dan penduduk.
Inflasi banyak memberi kesan negatif kepada ekonomi dan penduduk sesebuah negara.terutama inflasi terhadap barangan keperluan asas. Inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam negara terutama dalam sektor pemakanan. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industri-industri berkenaan

Selain dari segi eksport ke luar,harga barangan tempatan yang tinggi menyebabkan aktiviti mengimport barangan keperluan lebih banyak dari luar. Aktiviti ini berlaku kerana tingkat harga barangan di pasaran luar lebih rendah dan lebih menguntungkan . Inflasi import ini juga dipengaruhi oleh kadar pertukaran wang di antara Malaysia dengan negara luar. Umpamanya, jika kadar pertukaran wang Malaysia dengan Amerika jatuh (bermakna semakin banyak RM diperlukan untuk membeli satu dollar Amerika), maka dengan secara langsung Malaysia terpaksa membelanjakan banyak wang untuk mendapat sejumlah barangan dan membayar dengan harga yang tinggi. Tentunya harga yang tinggi ini akan dikenakan ke atas pengguna dalam negara.

Dari segi taraf kependudukan pula, bagi pengguna kelas atasan akan mencari peluang-peluang pekerjaan di luar negara yang dapat menawarkan kadar upah yang lebih lumayan berbanding di dalam negara. Sebagai contohnya ramai daripada pakar-pakar kewangan berhijrah ke Bahrain kerana kadar upah yang tinggi jika ditukarkan kepada matawang negara selain keadaan ekonomi yang stabil dan kos sara hidup yang lebih rendah. Ini akan merugikan negara akibat kehilangan pakar-pakar kewangan. Bagi pengguna yang berada di tahap yang rendah seperti tenaga buruh kasar, mereka mugkin akan mula hilang pekerjaan akibat penutupan operasi oleh pelabur-pelabur yang merasakan tidak mendapat keuntungan seperti yang dijangkakan. Kemungkinan juga mereka memindahkan operasi ketempat yang lebih berdaya saing.. Peniaga kecil juga akan mula menganggur kerana tidak mampu untuk melawan harga barangan keperluan asas. Ini memburukkan ekonomi negara apabila peluang-peluang pekerjaan dan ekonomi mula terbatas dan mengakibatkan berlakunya kemuncupan dalam tingkat ekonomi.


3. CARA MENGATASI

Berdasarkan artikel, peningkatan harga barangan keperluan memberi kesan yang besar terhadap pengguna dan Negara. Walaupun kerajaan telah mengadakan beberapa langkah seperti mengadakan kawalan harga barangan dan memberi subsidi tetapi masalah ini terus di rasai oleh para pengguna. Oleh itu Pengguna mempunyai peranan yang penting dalam melawan inflasi dan pengguna juga bertanggung jawab untuk membantu kerajaan dalam mengatasi masalah ini.

Antara langkah yang boleh di ambil ialah mengurangkan tahap kebergantungan kepada kerajaan semata-mata..Selain itu walaupun mengalami masalah pendapatan yang rendah dengan kebijaksaan yang ada, pengguna boleh mencorak semula perbelanjaan sewaktu ekonomi berada dalam keadaan inflasi. Pengguna boleh mengurangkan paras perbelanjaan dengan berbelanja ke atas barangan dan perkhidmatan yang perlu sahaja. Pengguna tidak perlu terlalu mengikut nafsu ketika membeli barang keperluan. Pengguna tidak perlu mempunyai jangkaan inflasi yang boleh memburukkan keadaan. Dalam keadaan-keadaan tertentu, pengguna boleh juga mencari barangan atau perkhidmatan pengganti yang lebih murah harganya.

Perbelanjaan yang terancang juga boleh membantu memgelakkan masalah kekurangan wang perbelanjaan. Kempen Anti-Inflasi serta program-program yang lain bertujuan mendidik pengguna tentang hak-hak pengguna, tentang pengurusan ekonomi rumah tangga dan tentang bahaya inflasi. Nasihat kepada pengguna ialah sebelum berbelanja mereka perlu tahu nilai harga terkini agar mereka tidak tersilap memilih barang, mereka juga perlu membuat senarai perbelanjaan bagi mengelakkan membeli barang yang tidak diperlukan, dan pengguna perlu lebih menanamkan sikap makan dirumah seperti yang di nyatakan dalam artikel.


3.1 Peranan kerajaan Malaysia

Objektif utama kerajaan ialah menstabilkan harga dalam keadaan ekonomi membangun dengan pesat. Langkah-langkah utama kerajaan dalam usaha memerangi inflasi boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu langkah-langkah fiskal, kewangan dan pentadbiran.

Dasar Kewangan (Monetary Policy)
Kerajaan mengamalkan dasar kewangan yang ketat untuk mengurangkan pertumbuhan penawaran wang di pasaran termasuk juga menetapkan kadar faedah pinjaman yang tinggi untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang banyak melalui pinjaman serta mengetatkan syarat-syarat pengeluaran kad kredit. Kerajaan juga boleh menghadkan kadar pinjaman peribadi yang dibenarkan.

Dasar Fiskal (Fiscal Policy)
Ini termasuk pengawalan cukai bagi barangan termasuk makanan, barang-barang isi rumah, barang-barang elektrik, elektronik dan sebagainya. Kawalan ini perlu bagi membantu pengguna berpendapatan rendah merancang perbelanjaan mereka. Pengawalan juga harus di perluaskan lagi ke kawasan luar Bandar kerana ramai peniaga luar Bandar yang tidak mengikut kawalan harga yang ditetapkan.

Menggalakkan Persaingan
Kerajaan akan meneruskan usaha menggalakkan persaingan yang lebih sihat antara industri untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi, permodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk.

Kapasiti Pengeluaran Makanan
Agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pertanian, Kerajaan-Kerajaan Negeri, Lembaga Kemajuan lkan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan badan-badan berkaitan diberi galakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan di samping penawaran harga yang tidak terlalu tinggi.

Kerajaan menyedari bahawa inflasi boleh menimbulkan kesan buruk kepada perkembangan ekonomi negara, kos sara hidup dan taraf hidup orang berpendapatan rendah. Kerajaan perlu memperluaskan dan memperkasakan lagi Kempen Anti Inflasi melalui media cetak dan elektronik untuk meningkatkan kesedaran dan perubahan sikap pembeli supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah positif untuk membantu membendung inflasi. Antaranya:
membeli barang buatan Malaysia mengelakkan pernbelian tidak dirancang membeli hanya barangan yang benar-benar diperlukan menggalakkan para pengguna berjimat cermat dan menabung mengurangkan pernbelian menggunakan kad kredit elakkan amalan mencatut (profiteering) oleh para peniaga. menggalakkan pembentukan imej pengguna bijaksana.

4. KESIMPULAN

Pengguna sebenarnya adalah raja jika mereka tahu akan hak-hak mereka. Sekiranya pengguna dapat bersatu menggunakan hak yang ada pada mereka maka secara tidak langsung akan dapat menstabilkan harga barang-barang dipasaran. Kenaikan kos akibat kenaikan beberapa faktor penentu kos seperti minyak dapat diatasi sekiranya pengguna belajar untuk mendisplinkan diri dari berbelanja tanpa had dan sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat di samping memastikan hanya berbelanja ikut kemampuan dan pada perkara yang penting sahaja.

No comments:

Post a Comment